Sunday, November 16, 2014

[Tugasan Media Baru] 8 Cara Mudah Menguruskan Masa

Adakah anda seorang yang mempunyai masalah untuk menguruskan masa? Sekiranya anda mengalami kesukaran ini, berkemungkinan anda tidak mengetahui teknik asas untuk menguruskan masa dengan lebih baik. Disini kita akan menyenaraikan 8 cara mudah untuk meningkatkan pengurusan masa anda.
Tahu yang anda sebenarnya mempunyai masalah untuk menguruskan masa- Mengetahui bahawa anda mempunyai masalah pengurusan masa adalah langkah pertama untuk mengubah sikap anda. Berkemungkinan kadang-kadang anda akan terlambat untuk pergi bekerja atau menghadiri aktiviti sosial, tetapi ia seharusnya tidak berlaku pada setiap hari atau setiap minggu. Sekiranya anda masih melakukan kesalahan yang sama berulang-ulang kali, ia bermakna anda masih tidak menyedari masalah anda.
Mengambil keputusan untuk berubah- Apabila sudah mengetahui masalah sebenar, anda perlu mengambil keputusan untuk melakukan perubahan di dalam hidup anda. Keputusan yang telah diambil perlu disertakan dengan tindakan untuk mencapai sesuatu objektif yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, mungkin anda mengambil keputusan untuk tidak lagi datang lewat ke tempat kerja, ia juga perlu disertakan dengan tindakan-tindakan yang perlu anda lakukan untuk mengelakkan anda datang lewat seperti tidur awal, kurangkan melepak bersama rakan pada waktu malam dan sebagainya.
Tetap dengan objektif anda- Usaha yang dilakukan untuk menjadi seorang yang lebih menghargai masa bukanlah satu perkara yang mudah untuk dicapai. Berkemungkinan sebulan anda mampu untuk sampai kerja awal, tetapi selepas itu ia akan kembali seperti sedia kala. Anda perlu tetap dengan objektif kehidupan. Pastikan anda selalu mengingati tujuan hidup dan sentiasa berusaha untuk mencapainya. Lama kelamaan ia akan sebati dengan cara hidup anda.
Buat senarai tugas harian- Membuat senarai yang harus dilakukan untuk diri sendiri adalah cara yang mudah untuk menguruskan masa dengan lebih baik. Catitkan apa yang harus anda lakukan sepanjang hari. Pastikan senarai tugasan yang anda lakukan mengikut terhadap kepentingan sesuatu perkara itu.
Peralatan pengurusan masa- Pasti ia merupakan satu kesukaran untuk otak anda mengingati segala tugasan harian yang perlu dilakukan.  Ia juga merupakan suatu perkara yang agak mustahil. Anda perlu bijak untuk menggunakan peralatan yang berada di sekeling anda dengan lebih baik. Sebagai contoh, pada zaman yang serba canggih ini, pasti setiap orang mempunyai telefon bimbit sendiri. Catatkan nota yang perlu anda lakukan atau gunakan sistem amaran peringatan(reminder) untuk mengingatkan anda melakukan sesuatu tugasan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Bijak untuk menerima atau menolak suatu pelawaan-  Sudah pasti anda pernah mengalami situasi dimana anda sedang cuba menyiapkan kerja dan dalam masa sama rakan-rakan anda mengajak untuk keluar minum atau sebagainya. Anda seharusnya lebih bijak untuk menangani situasi ini. Anda perlu tahu kesan sekiranya anda menerima atau menolak pelawaan tersebut. Sekiranya anda menerima pelawaan tersebut tetapi ia akan menyebabkan anda terlewat untuk menyiapkan tugasan pada tarikh yang telah ditetapkan, anda dinasihatkan untuk menolaknya. Urus masa anda dengan lebih bijak.
Sistematik- Melakukan suatu tugasan dengan bersistematik dapat membantu untuk menguruskan masa dengan lebih baik. Pasti sepanjang hari banyak perkara yang ingin anda lakukan selain bekerja sahaja seperti bermain dengan anak, keluar bersiar-siar dan sebagainya. Rancang masa anda dengan bersistematik supaya anda dapat menikmati kepelbagaian kehidupan harian anda. Ini juga dapat membantu untuk mengelakkan anda daripada melalui kehidupan yang membosankan.
Dapatkan bantuan pakar- Sekiranya anda masih lagi menghadapi kesukaran untuk menguruskan masa, anda perlu mendapatkan nasihat pakar. Berkemungkinan jadual pekerjaan anda yang terlalu padat memberi kesulitan kepada anda untuk merancang masa dengan lebih baik. Pakar sudah semestinya lebih mengetahui penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu.

Sumber : www.top5reason.com

Sunday, November 9, 2014

[Tugasan Media Baru] Panduan Mengerjakan Umrah

Rukun umrah ada 5 perkara. iaitu:
  1. Niat
  2. Tawaf
  3. Saie
  4. Bercukur atau bergunting
  5. Tertib
Huraian terperinci bagi setiap rukun adalah seperti dibawah:
      
     1. Niat 

Setiap ibadah hendaklah dimulai dengan niat. Jika seseorang itu tidak berniat sama ada sengaja atau terlupa umrahnya menjadi tidak sah. Berniat umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Berikut ialah lafaz niat umrah:                  
   نويت العمرة وأحرمت بها لله تعالى
Ertinya : “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”

  
         2. Tawaf

Tawaf adalah salah satu rukun yang sangat penting dalam ibadat umrah. Sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut syarat-syaratnya, ia menjadi tidak sah dan justeru itu Sai’e, iaitu rukun yang berikutnya juga akan menjadi tidak sah.

Syarat- syarat sah tawaf –
  • Berniat mengelilingi Ka’abah semata-mata untuk menunaikan tawaf kerana Allah S.W.T.
  • Lafaz niat Tawaf Umrah: Ertinya: “Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.” 
  • Tawaf hendaklah dilakukan di luar Ka’abah tetapi di dalam Masjidil Haram.Tawaf boleh dilakukan di bahagian atas Masjidil Haram tetapi mesti dipastikan bahu sentiasa mengiringi Ka’abah.
  • Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Ka’abah termasuk Syazarwan (bingkai Ka’abah) semasa tawaf.
  • Tidak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Ka’abah (kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada Ka’abah).
  •  Laluan tawaf hendaklah bersih daripada najis.
  • Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hijr al-aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama.
  • Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak tujuh kali pusingan dengan sempurna dan yakin.
  • Mesti mengirikan Ka’abah sepanjang masa tawaf. Beri perhatian khusus apabila tiba di penjuru-penjuru Ka’abah.
  • Mesti suci daripada hadas kecil (yakni berwuduk).
  • Mesti suci daripada hadas besar.
  • Badan dan pakaian mesti suci daripada najis.( mendukung anak lelaki yang belum berkhatan adalah diaggap membawa najis yang menyebabkan tawaf menjadi tidak sah).
  •  Mesti menutup aurat.


     3.  Sai'e 

Sai’e adalah juga satu rukun yang penting dan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun begitu sahnya Sai’e bergantung kepada sahnya tawaf. Jika kerana sesuatu sebab, tawaf tidak sah maka Sai’e yang walaupun dibuat dengan sempurna akan turut menjadi tidak sah.

Syarat-syarat sah Sai’e:
  • Hendaklah dilakukan selepas tawaf.
  • Tujuan hendaklah semata-mata untuk Sai’e.
  •  Sai’e hendaklah dimulai dari Bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah.
  • Sai’e dilakukan genap dan sempurna bilangan sebanyak tujuh kali. Perjalanan balik dari Marwah ke Safa dikira sekali pula.
  • Jarak perjalanan Safa ke Marwah dikira dari kaki bukit ke kaki bukit. Tetapi sekurang-kurangnya ialah jarak yang ditentukan untuk mereka yang menggunakan kereta sorong.
  • Perjalanan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya tidak terputus yakni seseorang itu tidak melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula menerusi satu pintu lain.


4.                4. Tahallul

Bertahallul maknanya melepaskan diri dari larangan ihram menurut cara yang ditetapkan untuk umrah. Bagi umrah seseorang itu boleh bertahallul setelah selesai melaksanakan dengan sempurna semua kerja-kerja rukun yang lain iaitu niat, tawaf dan Sai’e.

 Syarat Tahallul:
  • Menggunakan sekurang-kurangnya tiga helai rambut (bukan bulu) dengan cara bergunting atau dengan cara–cara lain. Tetapi adalah afdhal bagi lelaki mencukur kepalanya. Bagi orang yang kepalanya tidak berambut memadai jika dilalukan pisau di atas kepalanya.

  Perkara-perkara yang berkaitan dengan jemaah wanita:

  • Perempuan yang berambut panjang boleh memotong mana-mana bahagian rambutnya untuk tahallul asalkan tidak kurang dari tiga helai.
  • Suami boleh menggunting rambut isterinya sebelum menggunting rambutnya sendiri selepas kedua-duanya selesai Sai’e umrah. Tetapi sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu.
  • Perempuan haid boleh bertahallul dan rambut yang dipotong dimasukkan saja ke dalam bekas yang disediakan.


                    5. Tertib

Para jemaah hendaklah melaksanakan segala Rukun Umrah satu persatu, mengikut tertibnya (aturan).




Wajib Umrah

Wajib Umrah ialah perkara-perkara yang mesti dilaksanakan oleh jemaah umrah, sekiranya ditinggalkan, ibadah umrah tersebut masih sah tetapi dikenakan bayaran Dam. Pengabaian terhadap perkara-perkara Wajib Umrah dengan sengaja adalah berdosa dan dikenakan Dam. Jika ditinggalkan dalam keadaan tidak sengaja, hukumnya tidak berdosa tetapi masih dikenakan Dam.

Berikut ialah perkara-perkara Wajib Umrah:

  1. Berniat umrah di Miqat (sempadan) yang ditetapkan ataupun sebelumnya.
  2. Menjaga larangan ihram.
  3. Miqat Makani (sempadan tempat) adalah tempat yang ditetapkan bagi seseorang yang hendak mengerjakan umrah melafazkan niatnya. Niat boleh dilafazkan pada mana-mana tempat sebelum sampai ke Miqat ini. Tetapi jika sudah melampaui Miqat ini, niat umrah masih boleh dilafazkan tetapi Dam berupa seekor kambing dikenakan.


Miqat bagi jemaah umrah dari Asia Tenggara (dengan kapal terbang):

  • Qarnul Manaazil –Lebih kurang 94km dari Makkah atau lebih kurang setengah jam perjalanan sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Makkah setelah mendarat di Jeddah.
  • Bir Ali (disebut juga sebagai Zulhulaifah) – Lebih kurang 10km dari Bandar Madinah atau lebih kurang 450 km dari Makkah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Madinah dan dari sana berniat ihram sebelum bergerak menuju Mekah. Ia juga menjadi Miqat untuk penduduk bandar Madinah itu sendiri.

Lain-lain miqat (dengan kapal terbang) ialah:
  • Al-Juhfah –Lebih kurang 187km dari Makkah . Ia menjadi miqat untuk penduduk Syam (Syria), Mesir dan negara-negara lain dari arah yang sama.
  • Zaatu ‘irqin –Lebih kurang 94 km dari Makkah. Miqat bagi penduduk Iraq 

Perkara Yang Perlu Dilakukan Sebelum Berangkat
  1. Memotong kuku;
  2. Mencukur bulu kemaluan , bulu ketiak
  3. Merapikan rambut dan misai.


Sumber : umrahsertaziarah.blogspot.com


[Tugasan Media Baru] 5 Tips Untuk Persediaan Temuduga


1. Memiliki Kelulusan Yang Cemerlang Samada Ijazah, Diploma mahupun Sijil
Bukan bekas graduan yang mempunyai CGPA4.0 yang dicari oleh panel penemuduga akan tetapi adalah mereka yang mampu dan berkelayakan untuk menanggung kerja yang bakal disandang.
Kelulusan yang cemerlang ini cuma membantu dari segi meningkatkan peratus kebarangkalian kita untuk dipanggil menghadiri temuduga.
Jika anda memiliki keputusan yang cemerlang sekalipun, akan tetapi tidak cemerlang semasa sesi temuduga anda juga boleh gagal.
2. Banyak Bercakap SemasaTemuduga
Banyak becakap semasa temuduga akan menunjukkan bahawa kita seorang yang peramah dan yakin. Namun, kita juga perlu melihat kepada butiran dalam percakapan kita.
Adakah kita bercakap sesuatu yang tidak kena mengena atau tidak membawa erti berkenaan soalan yang ditanya? Jika ya, buruk padahnya yang diterima jika anda berbuat sedemikian.
Apa yang penting adalah, setiap yang kita ucapkan haruslah berkaitan dengan dengan soalan yang ditanya oleh panel penemuduga bukannya jawapan yang meleret-leret atau syok sendiri.
3. Lebih Lama Ditemuduga, Lebih Tinggi peluang untuk Lulus Temuduga
Tidak semestinya jika akan lulus temuduga tersebut jika kita ditemuduga dalam 30-45 minit.
Semuanya bergantung kepada kualiti kita dalam proses temuduga tersebut samada dari segi kebolehan kita menjawab soalan, penampilan diri kita, kelayakan kita, bakat, kekreatifan kita dan lain-lain lagi.
4. Ada Surat Sokongan/Kabel
Terdapat tanggapan segelintir pihak bahawa mereka pasti akan dapat pekerjaan yang di hajati jika mempunyai surat sokongan atau kabel.
Sebenarnya tanggapan ini tidak seratus-peratus benar. Sekiranya kita memiliki kabel taupun orang dalam, tidak dinafikan kadang-kadang ianya membantu kita berjaya dalam temuduga.
Akan tetapi adakah kesemuanya yang menggunakan kabel ini berjaya? Tidak sama sekali. Berapa kerat saja yang menggunakan kabel ataupun orang dalam yang berjaya dalam temuduga kerja kerajaan.
Ada kabel sahaja tidak berguna jika semasa temuduga menggelabah dan gagal menawan hati panel penemuduga.Daripada pemerhatian saya, kebanyakan calon yang berjaya dalam temuduga tersebut adalah mereka yang berusaha sendiri tanpa menggunakan sebarang bantuan dalaman.
Apa yang saya tahu, melalui temuduga SPA, boleh dikatakan tiada calon yang menggunakan kabel yang berjaya dalam temuduga tersebut sekiranya calon tersebut memang benar-benar tidak layak.
Cuba kita fikirkan, kita mahukan pekerjaan yang tetap secara halal dan bersih serta juga adil. Adakah kita sanggup untuk mendapat pekerjaan tetap secara tidak bersih dan tidak jujur?
5. Panel Penemuduga Sukakan Saya
Suasana temuduga meriah, ceria dan ada gelak ketawa. Sudah pasti kita menyangka kita akan berjaya. Belum tentu…Ini semua taktik je.. Hehehhe Tetapi tidak dinafikan juga jika panel penemuduga memang benar sukakan kita, mereka akan kelihatan mesra dan ceria.
Ada dua kemungkinan di sini, samada kita memang benar-benar disukai atau mereka sekadar menjaga hati kita saja. Ingat: anda perlu bersedia untuk berjaya.
Persediaan yang rapi perlu dilakukan untuk menghadapi temuduga. Kita juga perlu banyak berdoa kepada Tuhan dan berbuat baik kepada orang lain dan apabila kita ada semua resepi itu, tidak mustahil untuk kita berjaya.

*Sumber : kokotiam.com